Menurut Kamus Dewan Edisi Empat; Falsafah bermaksud pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu-ilimu lain. Ahli falsafah ialah oarang yang ahli dalam falsafah, ahli fikir, berfalsafah memikirkan secara mendalam tentang sesuatu.Sebelum membicarakan lebih lanjut mengenai falsafah dan kepentingannya dalam kehidupan, ingin saya menelurusi makna serta intipati falsafah itu sendiri.
Makna Falsafah
Hasil pandangan dikalangan ahli-ahli sejarah menyatakan bahawa Pythagoras yang berasal dari Yunani (sekarang Greece) pada tahun 500-580 SM, adalah pengasas dan orang yang mula-mula menggunakan istilah Falsafah. Falsafah bermaksud 'al-bahsu' iaitu pengetahuan, kebijaksanaan dan keutamaan. Perkataan ini sebenarnya berasal daripada istilah Yunani iaitu; philo dan sophia. Philo bererti 'cinta dan suka'. Sophia pula bererti 'hikmah dan kebijaksanaan'. Hasil gabungan dua buah perkataan ini maka falsafah membawa maksud 'Mencintai Kebijaksanaan / Sukakan hikmah'. Pythagoras telah menggelarkan dirinya sebagai philosophos atau pencinta kebijaksanaan(Lover of Wisdom) Cinta dalam Al Qur’an disebut Hubb (mahabbah) dan Wudda (mawaddah). Kedua-keduanya memiliki maksud yang sama iaitu menyukai, senang, menyayangi. Cinta melibatkan kedalaman perasaan, kesungguhan, jiwa dan raga dan tindakan yang bersungguh-sungguh kepada objek yang dicintai.
Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, hikmah pula membawa dua maksud iaitu kebijaksaan daripada Allah, kecerdikan dan rahsia, kelebihan atau tujuan sebenar di sebalik sesuatu perkara. Perkataan hikmah membawa konotasi yang berkait dengan ilmu pengetahuan, pengalaman hidup dan keupayaan membezakan nilai. Untuk itu falsafah dari sudut bahasa bermakna seseorang yang mencintai kebijaksanaan yang mengandungi berbagai-bagai ilmu dan bagi tujuan kefahaman diri dengan maksud yang jelas.
Dari sudut istilah pula, falsafah membawa maksud sesuatu ilmu yang mendasar kepada maksud sebenar sesuatu perkara sehingga jelas maksud dan tujuannya. Ianya dapat dilihat dari pandangan beberapa ahli falsafah samada Islam ataupun Barat. Mahupun begitu maksud atau makna falsafah itu berubah-ubah mengikut peredaran zaman bagi ahli falsafah.
Falsafah juga adalah kebijaksanaan atau hikmah dalam penggunaan fikiran untuk mencari kebenaran yang hakiki. Kebenaran ialah perkara yang paling tinggi yang dapat dicapai melalui akal ataupun kaedah berfikir. Dalam Islam sendiri, berfikir amat penting untuk mencapai hakikat.Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda; bahawa berfikir satu saat itu lebih tinggi nilainya daripada satu sembahyang malam. Berfikir secara falsafah haruslah mempunyai ciri-ciri yang berikut;
(i) Berfikir secara radikal, iaitu secara mendalam sehingga usulnya, ke akar umbi dan hakikatnya.
(ii) Berfikir secara universal, iaitu secara umumnya berpandukan pengalaman manusia. Ianya bukan khusus dan terhad dengan ilmu tertentu sahaja.
(iii) Berfikir secara integral, yakni berpandu secara lengkap pada mana-mana bahagian yang ada.
Bagi rujukan umum, saya sisipkan satu contoh takrifan falsafah daripada Drs. Sidi Gazalba dalam buku Drs. Sidi Gazalba (1974), Sistematika Filsafat: Pengantar Kepada Dunia Filsfat, Teori Pengetahuan, Metafika, Teori Nilai :
"Berfalsafah ialah mencari kebenaran dari kebenaran untuk kebenaran, tentang segala sesuatu yang dimasalahkan, dengan berfikir secara radikal, sistematik dan sejagat. Apabila seseorang berfikir demikian dalam menghadapi masalah dalam hubungannya dengan kebenaran, adalah orang itu telah memasuki falsafah. Penuturan dan uraian yang tersusun oleh pemikirannya itu adalah falsafah"